Buku: Gadis Berkerongsang Delima

June 16, 2012
Saya rasa tak ramai yang tahu kewujudan buku ini. Sejujurnya saya sendiri was-was apabila tiba-tiba teringat akan buku ini tak lama dahulu. Betulkah wujud buku ini atau saya terlebih imaginasi? Namun setelah menaip tajuk buku ini di internet, sahlah, memang wujud! Karya asal novelis Indonesia, Abdullah Harahap dan diterjemah oleh Rahman Tahir.

Saya berusia 13-15 tahun semasa membaca buku ini buat pertama kali. Sangat muda bukan? Muda kerana saya rasakan jika anda melihat profil Abdullah Harahap, golongan sasaran novelnya adalah golongan 18 tahun dan ke atas. Tak percaya? Google Abdullah Harahap sekarang!

Berbalik kepada buku Gadis Berkerongsang Delima. Saya temui naskah ini di sebuah perpustakaan sekolah berasrama penuh. Tajuknya yang agak ganjil membuatkan saya tertarik untuk membacanya.

Ceritanya bermula dengan watak utama lelaki yang saya akan gelarkan K (kerana saya sudah lupa nama semua watak dalam buku itu), mencari sebuah rumah sewa untuk didiami. K seorang novelis yang sudah ketandusan idea (kalau tak salah ingatan saya) memerlukan persekitaran berbeza untuk cuba menulis lagi. Akhirnya dia menemui sebuah rumah banglo yang sangat murah untuk disewa. Lantas beliau menyewa rumah tersebut tanpa mempedulikan kata-kata orang kampung bahawa rumah itu 'berpenghuni'.

Sewaktu mula-mula memijak kaki ke dalam rumah itu, K tidak merasakan apa-apa. Rumah itu begitu kemas dan dijaga dengan rapi. Tak lama kemudian, pelbagai perkara aneh dilihatnya berlaku. Dia hanya mendiamkan diri sehingga satu hari kertas di mesin taipnya ditarik semasa dia sedang leka menaip.

Dia sedar dia tidak keseorangan di dalam rumah tersebut. Bermacam-macam kejadian berlaku, namun K masih lagi mendiami rumah itu, cuba untuk berkawan dengan 'penghuni' lama. Akhirnya 'penghuni' itu (saya gelarkan V bermula sekarang) mengalah dan berinteraksi dengan K melalui pelbagai cara, termasuk di alam mimpi.

Orang kampung yang menyewakan rumah tersebut kepada K mula rasa bersalah apabila melihat K bercakap dan ketawa keseorangan semasa dia melawat K. Mahu tidak mahu dia menceritakan apa yang terjadi kepada penghuni terdahulu kepada K dan menyebabkan K memaksa V untuk menceritakan apa yang terjadi sebenarnya.

V enggan, tetapi masih juga hadir dalam mimpi K dan hubungan mereka menjadi rapat, seperti hubungan suami isteri. Satu hari, kerana desakan K, V muncul dalam mimpi K dalam keadaan berlumuran darah, dengan niat cuba menakutkan K.

K tidak berganjak, malah makin memaksa V menceritakan kisahnya sebelum terlewat. V akhirnya memberitahu bahawa dia dibunuh oleh suaminya dan ditanam di bawah lantai bilik air di tingkat bawah selepas berlaku pertengkaran.

Walaupun berat hati, K mengarahkan orang kampung menggali bilik air berkenaan dan menemui rangka V tertanam seperti yang dikatakan oleh V sendiri dalam mimpinya. Rangka V ditanam mengikut cara Islam dan sejak itu, V tidak lagi muncul dalam mimpi K.

K yang agak kesedihan mengambil keputusan untuk berhijrah sekali lagi.

Tamat...

Apa yang saya nukilkan disini adalah berdasarkan memori semata-mata. Mungkin ada yang tersalah fakta, tertokok tambah di mana imaginasi saya melampaui penulis sebenar (hehe). Yang pasti, novel ini memang menarik sehingga saya dapat mengingati 70% daripada jalan cerita selama lebih daripada 13 tahun.

Saya tidak pasti di mana novel ini dapat saya cari sekali lagi (Arkib Negara mungkin?). Jika ada kesempatan, ingin juga saya baca novel ini sekali lagi, sekadar ingin tahu yang terpahat dalam ingatan saya itu adalah benar, atau sekadar imaginasi saya semata-mata.

Hearts: ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♡ ♡ ♡

No comments:

Do jot down your opinion! ^^

Feel free to use any information or images you found in this blog but do credit properly! Thank you. Powered by Blogger.