Menyampah dengan iklan Idola Kecil 4

September 27, 2011
Saya tak pasti berapa ramai daripada anda yang membaca telah menonton iklan pencarian bakat untuk Idola Kecil Musim yang ke-4 (IK4) di TV9. Terus terang saya mengakui, saya memang cukup menyampah apabila iklan IK4 ini ditayangkan. (Sesiapa yang tak pernah tengok sila lawat Facebook Rasmi IK4)

Atas sebab apa saya menyampah? Cuba anda tonton sendiri iklan itu. Perhatikan pelakon, latar dan situasi yang ditunjukkan.


Pelakon: Budak sekolah, baju putih, kain biru gelap.

Pendapat saya: Nampak sopan, kemas dan tidak selekeh. OK.


Latar: Perpustakaan.

Pendapat saya: Perpustakaan tampak kemas, tersusun dan teratur. OK.


Situasi: Seorang murid perempuan mendengar lagu menerusi walkman (haha, old school!), iPod atau MP3 player. Dia melalak, menyanyi mengikut lagu sedangkan rakan-rakan lain sedang membaca buku dan belajar. Masih lagi melalak walaupun ditegur rakan yang menunjukkan papan tanda TOLONG SENYAP.Akhirnya berhenti dan malu sendiri apabila ditegur oleh guru.

Pendapat saya: Adakah ini mesej yang baik? Jawapannya tentu sekali tidak. Sudahlah membuat bising di dalam perpustakaan, menganggu rakan-rakan lain pula yang berniat untuk belajar.


Saya sedar mesej yang ingin disampaikan oleh pihak penganjur. Ingin mencari bakat baru, seorang lagi Idola Kecil.

Dalam pada itu, saya tertanya-tanya. Minda-minda kreatif yang mengilhamkan iklan ini, tidak terfikirkah akal mereka bahawa mesej yang tidak baik juga sedang disalurkan?

Masih saya ingat semasa di sekolah, saat sedang sibuk mencari idea menyiapkan karangan kreatif untuk subjek Bahasa Melayu di perpustakaan. Datang segerombolan pelajar lelaki, duduk di hujung bilik berdekatan meja yang saya duduki.

2 minit berlalu, mereka mula mebuat bising. Bersembang dan ketawa dengan suara yang agak kuat. Menganggu konsentrasi saya untuk menulis. Dengan perasaan marah, saya campakkan pensil box saya ke arah mereka. Dipendekkan cerita, saya dan pelajar-pelajar lelaki itu ditendang keluar dari perpustakaan oleh guru yang bertugas.

Mengapa kami diarahkan keluar? Kerana kami menganggu rakan-rakan lain yang ingin belajar.


Menonton iklan itu kini, saya tertanya-tanya. Mesej apakah yang ingin disampaikan? Adakah;

a. Jika kamu gemar menganggu rakan lain di perpustakaan dengan melalak tak tentu pasal, sertailah uji bakat Idola Kecil untuk menyalurkan bakat kamu di saluran yang betul.

atau;

b. Tidak perlu menghormati permintaan rakan yang meminta kamu diam apabila membuat bising dalam perpustakaan. Apabila guru yang datang menegur, barulah kamu berhenti menyanyi dan senyap.



Cik Atun: Memang cukup MENYAMPAH!

No comments:

Do jot down your opinion! ^^

Feel free to use any information or images you found in this blog but do credit properly! Thank you. Powered by Blogger.