The Cave of The Golden Rose a.k.a Fantaghirò

Siapa yang tak pernah tengok cerita ini? Sahlah ada perbezaan zaman antara kita. Haha...

Saya masih ingat menonton siri ini sewaktu menuntut di sekolah berasrama, dalam tahun 1999 atau 2000. Cerita ni memang top, seingat saya ramai remaja di sekolah (terutama yang perempuan) yang menyebut-nyebut nama watak-watak dalam siri ini selain menghafaz apa yang perlu untuk peperiksaan. Ha! *saya juga tidak terkecuali*

Fantaghirò, Romualdo... dan agaknya, yang paling popular sekali, Encik Tarabas. Sanggup membiarkan kerja rumah menanti semata-mata hendak menonton kelibat si kacak ini di muka TV. Tidak kurang mengetuk peti TV yang uzur di asrama kerana tiba-tiba waktu asyik merenung Tarabas, TV terpadam dengan sendiri. Kelakar bila diingatkan semula waktu gila-gila itu.

source: Wikipedia

Kemudian beberapa tahun berlalu, saya seakan terlupa pada siri itu. Terbenam jauh dalam kotak ingatan gamaknya.

Kemudian tiba-tiba, semasa saya melakukan aktiviti kegemaran sewaktu iklan - flipping through channels - keluarlah muka si Fantaghirò yang sudah agaknya lebih dari 10 tahun saya tidak lihat di kaca TV. Mengkhabarkan siri itu akan ditayangkan semula di TV9 pada hari Ahad, jam 10.00 malam.

Secara kebetulan, hari itu adalah hari Ahad, jam 8 malam. Saya bercadang untuk menonton, tapi terlupa pula selepas sedap menjamah makan malam. Jam 9.45 malam, seperti biasa, aktiviti di malam Isnin, menggosok baju kerja suami dan saya sendiri. Entah kenapa hati tergerak menekan punat TV walaupun selalunya jarang sekali saya menggosok sambil menonton TV.

Tekan dan tekan dan tekan, tup tup keluar sekali lagi muka Fantaghirò. Ketawa saya dibuatnya. Terkenang zaman dulu-dulu, anak gadis sunti, menonton dengan belasan rakan-rakan yang lain.

Tak lama selepas itu, En. Q masuk ke dalam bilik. Saya ketawa lagi bila dia bersorak,

Eh! Fantaghirò!!!

Rupanya bukan saya seorang saja dilanda demam Fantaghirò dahulu. Dia pun begitu juga!

Sudahnya kami menonton berdua. Kadangkala terdengar hubby ketawa. Geli hati katanya. Dulu dirasakan siri itu begitu gah sekali. Kini sudah menjadi kisah klasik, umpama menonton filem P.Ramlee. Mendengarkan perumpaan itu, saya hanya mampu tersenyum.

Malam dua hari sudah saya menonton siri ini seorang diri sambil menggosok baju. Hubby masuk bilik dan membebel...

Hubby: Kenapa tak ajak abang tengok sekali???
Saya : Kan abang nak tengok Manchester City lawan bola???
Hubby: -_-;;



Cik Atun: Demam Fantaghirò melanda lagi?

No comments:

Do jot down your opinion! ^^

Feel free to use any information or images you found in this blog but do credit properly! Thank you. Powered by Blogger.